“Kamu tidak bermasalah bukan?”
Pertanyaan pemandu teksi itu berbunyi sedikit gusar apabila melihat pegawai imigresen melihat passport aku dengan agak lama.
Kami ketika itu berada di pemeriksaan sempada Han i Hotit, persinggahan terakhir di Albania sebelum merentas masuk ke negara Montenegro.
Berkerut dahi pegawai imigresen itu meneliti passportku, sesekali memandang kearah kami. Dia berbicara dengan pemandu teksi dalam bahasa yang tidak aku fahami, seperti ingin memastikan sesuatu. Setelah beberapa ketika pegawai itu memulangkan passport dan membenarkan kami pergi.
“Kau nyaris nak ditahan tadi.” kata pemandu teksi.
“Atas sebab apa?” tanyaku.
“Pegawai tadi cakap tidak ada cop masuk pada passport kau. Tetapi kau bernasib baik sebab ada rekod kemasukan dalam sistem komputer.” jelasnya.
Aku tidak terkejut. Aku sebenarnya tahu yang passportku tidak dicop semasa masuk ke Albania. Ketika itu kami menaiki bas, dan semua passport dikumpulkan dan dibawa oleh pemandu bas ke kaunter imigresen. Aku hanya menyedari yang passportku tidak dicop masuk semasa ianya dipulangkan dan bas telahpun meninggalkan sempadan.
Dan baru sebentar tadi, aku menarik nafas lega kerana berjaya melepasi sempadan tanpa sebarang halangan.
Aku meneruskan perjalanan ke Podgorica, ibu negara bagi Montenegro. Apa yang menjadi tarikan disini, aku juga tidak pasti. Dari carian di internet, ianya lebih kepada pusat pentadbiran dan tidak banyak untuk dilawati di bandar ini.
Yang menarik minat aku untuk ke bandar ini cuma satu, Hard Rock Cafe Podgorica. Satu-satunya HRC di wilayah Balkan. Sebagai pengumpul tegar cenderamata HRC pastinya aku tidak melepaskan peluang untuk ke sini. Biarpun sedikit menyimpang dari destinasi sebenar yang hendak aku tuju.
Aku tiba di terminal bas sesudah matahari terbenam, dari situ aku mengambil teksi untuk ke HRC. Teksi yang aku naiki menggunakan meter, lega sedikit kerana tidak risau dikenakan tambang yang tak munasabah. Bayarannya 6 euro.
Usai ke HRC, aku pulang semula ke terminal bas dengan menaiki teksi yang lain. Setibanya di terminal bas, aku terkejut dengan kadar tambang di meter teksi itu. Cuma 3 euro! Jarak dan laluan yang sama sebelum ini, mengapa kali ini lebih murah?
Sah aku dah terkena scam meter teksi. Oh, klasik. Patutlah meter pada teksi pertama tadi lain macam lajunya. Aku abaikan saja perkara itu kerana aku ada misi yang lebih penting, untuk menuju ke lokasi utama aku di negara ini iaitu bandar Kotor.
Perjalanan 2 jam menaiki bas ke Kotor ini melalui laluan berbukit yang bersimpang-siur membuatkan kepala aku berpinar. Dalam kepenatan, aku pejamkan mata untuk berehat. Setelah entah berapa lama, aku dikejutkan oleh suara pemandu bas yang memberitahu yang bas sudah pun tiba di Kotor. Rupanya aku benar-benar tidur tanpa sedar sedikitpun. Mungkin kepenatan setelah seharian dijalanan.
Malam itu aku merehatkan diri di sebuah guesthouse didalam kawasan Old Town Kotor. Guesthouse ini cukup unik kerana mengekalkan senibina lama. Terasa seperti hidup di zaman Medieval.
Kotor merupakan sebuah kota di persisiran lautan Adriatic. Lokasinya yang terletak dalam kawasan Bay of Kotor yang terlindung dari lautan luas disebelah luar menjadikannya tumpuan kapal-kapal Cruise untuk singgah, terutamanya semasa musim panas. Kota lama ini juga adalah antara UNESCO’s World Heritage Site yang ‘well-preserved’.
Old Town Kotor pada zaman dahulu merupakan sebuah kubu yang mempunyai sistem pertahanan yang kuat. Kedudukan kota ini yang strategik terletak di kaki bukit, dimana bahagian kiri dan kanan adanya sungai yang mengalir. Dinding kubu pula dibina dari bawah hingga ke puncak bukit.
Makanan halal sukar dicari disini, boleh dikatakan tiada. Mujur pasaraya di sini ada menjual bahan-bahan mentah halal yang boleh aku beli dan masak di dapur guesthouse.
Aku menghabiskan masa disini dengan mempelajari senibina, sejarah dan budaya warga Kotor. Paling tidak dilupakan, menghayati pemandangan matahari terbenam dari puncak bukit, menghadap “Fjords of the Adriatic”.