Dua hari aku berlegar di Athens sudah cukup aku rasakan, sebenarnya Athens ini boleh sahaja dihabiskan dalam masa sehari dengan melawat tapak arkeologi paling gah dan menjadi tumpuan disini iaitu Acropolis. Tempat ini terletaknya monumen zaman purba greek yang paling gah, The Parthenon yang pada satu masa dahulu dibina untuk memperingati Athena, pemimpin Greece pada masa itu.
Dari Athens kami menaiki overnight bus ke Tirana, Albania tetapi kami perlu berhenti di pertengahan iaitu di Pogradec. Perjalanan mengambil masa selama 10 jam. Sekali lagi bermalam dalam bas. Tidur tak lena dan sakit pinggang.
Akhirnya kami tiba Pogradec pada jam 4 pagi. Cuaca hujan renyai menambahkan lagi kesejukan. Perut juga lapar, nasib baik ada tapau kebab abam Bangladesh di Athens malam tadi. Alhamdulillah dapat melapik perut. Kami duduk di hentian bas sambil menikmati kebab. Jalan masih gelap dan kosong. Berpandukan google maps, border cross ke Ohrid/Macedonia dalam 5km dari tempat kami berdiri. Jauh juga nak berjalan. Selang 10 minit, ada satu kereta datang dan bertanyakan kami mahu ke mana, aku kira itu prebet sapu. Aku katakan yang kami mahu ke Ohrid, dia tak faham, cuma dia faham ohrid sahaja. Disebabkan ketiadaan matawang Albania, aku tunjukkan note 5euro kepadanya, dia mengangguk sambil senyum.
Dari border, kami perlu berjalan kaki sejauh 100m merentasi “No Mans Land” antara Albania dan Montenegro yang dipisahkan oleh Tasik Ohrid. Setibanya di pintu masuk Montenegro, pantas passport kami dicop dan dari situ kami mengambil bas awam ke pekan Ohrid yang terletak 10km dari sempadan. Dalam perjalanan bas merentasi Galichica National park, dari tepi jalan boleh nampak rusa liar sedang berlari dengan berlatarbelakangkan gunung dengan “ice cap” di sebelah kanan, sebelah kiri pula tasik Ohrid yang luas. Sisi pemandangan yang menakjubkan.
Pekan Ohrid tidaklah begitu besar, tetapi padat dengan senibina zaman Middle Ages dan tidak kurang juga banyak peninggalan kerajaan Uthmaniyyah. Aku merasa cukup tenang disini, rasa seperti nak menetap disini, “laid back and enjoy quiet life in tranquility”.
Tarikan utama di Ohrid adalah Old Town itu sendiri, disini terletaknya Church of St. John di pinggir tasik Ohrid yang paling popular difotografikan. Samoil’s Fortress juga tidak kurang hebatnya, berada di puncak bukit dapat melihat pemandangan 360° seluruh Ohrid.
Di kawasan kaki bukit pula, terletaknya Old Bazaar yang menjadi tempat tumpuan untuk mencari cenderamata dan menjamu selera. Makanan halal tidak susah disini kerana adanya komuniti Muslim yang rata-ratanya dari susur galur peninggalan Turki Uthmaniyyah. Terdapat banyak masjid pekan ini dan azan lima waktu masih dilaungkan di pekan yang pernah mempunyai 365 gereja dan diberi jolokan “Jerusalem of Balkans”.
Satu perkara yang menarik perhatian aku adalah disini ada sebuah masjid yang mempunyai salib kecil di minaretnya. Dikatakan di tapak masjid ini dahulu berdirinya sebuah gereja. Setelah kedatangan Turki Uthmaniyyah, ianya dirobohkan dan dibina masjid. Misterinya, sebatang Salib kecil itu muncul pada puncak minaret setelah masjid ini siap dibina. Berkali-kali ianya dibuang namun ianya tetap muncul kembali sehingga pada satu masa minaret itu runtuh. Setelah minaret itu dibina kembali, tanda salib itu kembali muncul di puncak minaret. Akhirnya ianya dibiarkan sahaja disitu dan minaret itu kekal berdiri sehingga ke hari ini. Wallahualam.
Disebabkan terasa begitu selesa dengan ketenangan disini, kami buat keputusan untuk menginap selama dua hari untuk melepaskan lelah dari perjalan ke tiga destinasi sebelum ini (Istanbul, Sofia dan Athens). Sudah tiba masa untuk berehat seketika sebelum melalui perjalanan panjang masuk semula ke Albania.
Sedikit tips dan bajet kos:
Penginapan: 20euro
rata-ratanya kos ini, di atas bukit dalam kawasan Old Town. Berbaloi sewa disini kerana pemandangan dari atas bukit yang cantik. Pastikan pilih lake view.
Makan: 500mkd (8euro) (nasi bersama ayam panggang 1/2 ekor dan salad + turkish tea)
Bas, per trip: 200mkd (3uero)