Perjalanan bas yang paling kami ingati adalah dari Ohrid ke Berat di Albania. Ianya bukanlah bas besar tetapi sebuah furgon, besarnya seperti sebuah van. Sepatutnya kami diberikan bas yang lebih besar, namun terpaksa diganti kerana bas itu mengalami masalah. Kami terpaksa menaiki furgon itu yang telah melebihi muatan, tiada lagi tempat duduk kosong untuk kami.
Mujurlah kami ditemukan dengan warga Albania yang baik hati, mereka sanggup berkongsi separuh tempat duduk mereka. Kami dilayan seperti keluarga, cuba berbual dengan kami walaupun mereka tidak fasih berbahasa inggeris. Lelaki muda yang berkongsi tempat duduknya dengan aku juga sangat peramah, tak henti bersembang dengan aku dengan campuran bahasa Albania dan isyarat tangan.
Lanskap muka bumi Albania sememangnya bukan mudah untuk dilalui, dikelilingi pergunungan dan jalan yang bengkang-bengkok seperti ular dipalu. Beberapa kali juga penumpang dalam bas yang tidak tahan mabuk, terus sahaja muntah ke lantai bas. Kasihan.
Kami berhenti di pertengahan jalan kerana perlu mengambil bas lain untuk ke Berat. Semua mengucapkan selamat dan melambai tangan tanda perpisahan seraya bas berlalu meninggalkan kami. Terasa sayu pada masa itu memikirkan masih ada insan yang mengambil berat terhadap kami, dua orang asing di bumi Albania. Terima Kasih, kalian tak akan kami lupakan.
Kami kini berada di bumi asing Albania, lokasi tepatnya di Elbasan. Bandar yang langsung tiada dalam perancangan untuk disinggahi. Gara-gara kelewatan bas dari Skopje, kami tiba di Elbasan pada lewat petang dan pada masa itu tiada lagi furgon yang menuju ke Berat.
Setelah beberapa ketika berjalan menyusuri pekan Elbasan untuk mencari tempat berteduh untuk malam itu, aku dapati bandar ini tidak begitu banyak tempat penginapan. Cuma terdapat beberapa hotel yang berstatus tiga bintang keatas, tiada hostel atau guesthouse kos rendah. Nampaknya seperti tempat ini bukan ‘backpackers friendly’.
Kami menginap di hotel bertentangan dengan Elbasan Castle, yang merupakan kubu Uthmaniyyah pada zaman dahulu. Istana ini merupakan lambang kekuatan ketenteraan Uthmaniyyah di Elbasan pada zaman dahulu yang merupakan antara pusat pentadbiran penting di Albania.
Bajet dan jadual kami lari sedikit disebabkan terpaksa bermalam di Elbasan. Kami perlu membayar 50euro untuk bilik, sedangkan bajet kami untuk bilik hanyalah 15-20euro semalam. Kami juga perlu mengubah itinerari disebabkan masa kami sudah terbazir satu malam. Namun perkara ini adalah sebahagian daripada cabaran dalam berkembara, risiko untuk menghadapi insiden tidak diduga ini perlu aku hadam. Dari sini aku belajar bagaimana untuk membuat keputusan pantas dan menjadi fleksibel dalam mewancara jadual perjalanan yang baru.
Dalam kesejukan hujan pada malam itu, kami hanya mengisi perut dengan mee segera yang direndam dengan air panas yang begitu cepat bertukar sejuk akibat dari cuaca yang sangat sejuk. Inilah dua puluh minit paling panjang dalam hidupku dalam menanti mee segera ini siap dimasak.
Kami berkongsi sepinggan mee segera sambil menonton siaran televisyen dalam bahasa Albania yang langsung kami tidak fahami. Sesekali aku mengajuk dialog seakan-akan siaran itu dalam Bahasa Malaysia lalu kami tertawa.
Jauh disudut hatiku bersyukur, ada juga juga rezeki tempat berteduh dan makanan untuk mengisi perut pada malam itu.
Keesokan harinya, seawal pagi kami sudah keluar dari hotel untuk menaiki bas paling awal ke Berat. Suasana pagi itu begitu tenang di Elbasan, bandarnya agak bersih dan orangnya juga peramah. Trafik juga tidak begitu banyak. Berbeza keadaannya dari semalam yang mendung menjadikan suasana agak suram. Rupanya, tempat ini tidaklah begitu teruk pada pandanganku.
Dari dalam furgon menuju ke Berat, aku melihat pemandangan Elbasan buat kali terakhir. Perlahan-lahan meninggalkan bandar yang secara tidak sengaja aku kunjungi.